19 April 2026 – Majlis Mesyuarat Agung JIBG Kali Ke-15 dan Jamuan Hari Raya telah berlangsung dengan lancar dengan kehadiran waris seawal jam 8.30 pagi. Majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran, bacaan doa serta ucapan aluan oleh Pengerusi JIBG sesi 2024/2026 sebelum mesyuarat bermula pada jam 9.00 pagi.
Mesyuarat melibatkan pengesahan minit mesyuarat lalu, pembentangan laporan aktiviti tahunan JIBG 2025, sesi perbahasan usul serta pemilihan Ahli Jawatankuasa JIBG bagi sesi 2026–2028. Suasana mesra turut diserikan dengan beberapa sesi cabutan bertuah sepanjang majlis berlangsung.
Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada barisan pengurusan JIBG yang lalu, khususnya kepada Dr. Zahirrudin Bin Zakaria atas khidmat bakti selama 10 tahun sebagai Pengerusi JIBG. Majlis diakhiri dengan jamuan potluck dan sesi beramah mesra sebelum bersurai pada jam 12.00 tengah hari.








