SMITI Sains Bahrul Ulum adalah sebuah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) berdaftar bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang, yang ditubuhkan dengan matlamat untuk mendidik dan mentarbiyah tunas-tunas Islam bagi melahirkan generasi Islam yang memiliki pemahaman Islam yang kukuh dan beramal dengan ilmu mereka dengan penuh ikhlas dan ihsan, seterusnya melaksanakan kewajipan kepada agama, bangsa dan negara. Mereka juga akan menjadi generasi Islam yang menceburi bidang Sains dan Teknologi serta memakmurkan bidang ini dengan prinsip, syariat dan nilai-nilai Islam.
SMITI Sains Bahrul Ulum bukanlah organisasi berasaskan perniagaan atau keuntungan. Dengan kadar yuran yang minima dan sangat rendah, kami ingin membuka peluang kepada golongan B40 dan M40 dalam mendapatkan pendidikan agama yang terbaik untuk anak-anak mereka. Justeru kami mengajak tuan/puan untuk sama-sama menyumbang dan berwakaf untuk pembangunan ummah.
Kerja-kerja pembinaan Blok Akademik SMITI telah dimulakan pada September 2021 sebaik sahaja sektor pembinaan dibuka semula akibat Pandemik Covid 19. Kenaikan tinggi kos bahan pembinaan pasca PKP3.0 hampir setiap bulan sejak hujung tahun 2021 akibat kekurangan bahan mentah binaan dan terus naik sepanjang tahun 2022 sangat memberi kesan kepada kerja-kerja pembinaan termasuk kenaikan kos lebih sekali ganda daripada anggaran awal sebelum Pandemik.
Alhamdulillah, dengan sokongan kewangan dan doa dari masyarakat Islam, kerja-kerja pembinaan telah memasuki Fasa Akhir untuk disiapkan sepenuhnya menjelang hujung tahun 2023 ini. Bilik-bilik di aras bawah dan aras satu sudah boleh digunakan bagi menjalankan aktiviti persekolahan. Manakala aras tiga dan aras empat belum dapat disiapkan sepenuhnya disebabkan kekangan kewangan. Alhamdulillah, Sesi Persekolahan 2023 yang bermula 20 Mac 2023 yang lalu, murid-murid Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 telah memulakan sesi persekolahan mereka di sini.
Pihak kami ingin merakamkan jutaan terima kasih dan jazakumullah kepada semua penyumbang dan pewakaf. Alhamdulillah, murid-murid telah dapat bersekolah di bangunan ini dan semoga pahala wakaf fi sabillah ini akan terus berjalan hingga hari kiamat.
Sehingga Mac 2023, sebanyak RM 1.7 juta telah dibelanjakan dengan RM 593 ribu daripadanya adalah hasil sumbangan derma dan wakaf masyarakat Islam manakala baki sebanyak RM 1.1 juta adalah dibiayai melalui pinjaman/hutang dari beberapa pihak termasuk pembekal yang perlu dibayar atau diselesaikan sebelum 2024. Pihak kami juga masih memerlukan bantuan/sumbangan kewangan sebanyak RM 233,768 lagi bagi membiayai kerja-kerja akhir pembinaan agar bangunan ini dapat siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada hujung tahun 2023. Kerja-kerja akhir ini termasuklah kerja-kerja pendawaian aras tiga dan aras empat, pemasangan bumbung, bengkel kemahiran, pagar, longkang dan lain-lain.
Oleh sebab itu, pihak kami masih memerlukan sumbangan Wakaf Pembangunan dari tuan/puan/dato'/datin dan seluruh masyarakat Islam bagi menyiapkan bangunan ini dan membayar pinjaman/hutang pembangunan ini.
Semoga Allah murahkan rezeki tuan/puan/dato’/datin yang menderma. Dan semoga pahala wakaf fil sabilillah ini berkekalan selamanya.