:
Kurikulum SMITI


PENGENALAN

Kurikulum SMITI Sains Bahrul Ulum dirangka berdasarkan 8 Domain Sasaran Kemenjadian Murid yang telah ditetapkan seperti di pautan Kemenjadian Murid SMITISBU (untuk maklumat lanjut). Ini bermaksud, semua pengisian pendidikan dan tarbiyah murid-murid sepanjang 5 tahun mereka belajar di sini adalah dengan matlamat untuk melahirkan murid-murid yang memenuhi kesemua Sasaran Kemenjadian Murid tersebut. Pengisian ini termasuklah pengisian dalam bilik darjah dan luar bilik darjah.

Sasaran Kemenjadian Murid tersebut dirangka selaras dengan matlamat utama penubuhan sekolah iaitu mendidik dan mentarbiyah tunas-tunas Islam bagi melahirkan generasi Islam yang akan menceburi bidang sains dan teknologi, yang memiliki pemahaman Islam yang kukuh dan beramal dengan ilmu mereka dengan penuh ikhlas dan ihsan, serta menjadi generasi yang melaksanakan kewajipan kepada agama, bangsa dan negara selaras dengan falsafah pendidikan negara dan falsafah pendidikan Bahrul Ulum itu sendiri, iaitu : 

"Pendidikan adalah usaha berterusan dan menyeluruh dalam membentuk kepercayaan, pengetahuan dan jati diri Muslim serta memperkembangkan potensi diri berteraskan al Quran, as Sunnah, ijmak ulamak dan qias. Usaha ini adalah untuk melahirkan generasi beriman dan bertaqwa, berilmu dan berkemahiran yang seimbang duniawi dan ukhrawi bagi memenuhi keperluan dan cabaran semasa dan akan datang, serta bertanggungjawab untuk membangun diri, agama, masyarakat, alam sekitar, negara dan seterusnya memperjuangkan wujudnya dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju redha Allah, mempertahan kesucian Islam, serta kemerdekaan dan kedaulatan negara " (Falsafah Pendidikan Bahrul Ulum)

 

ASAS KURIKULUM SMITI SAINS BAHRUL ULUM.

Ringkasnya, Kurikulum SMITI Sains Bahrul Ulum adalah integrasi (gabungan bersepadu) beberapa kurikulum atau bidang ilmu yang digubal bagi mencapai semua 8 Domain Sasaran Kemenjadian Murid yang telah ditetapkan. Secara asasnya, Kurikulum SMITI Sains Bahrul Ulum ini dibentuk dengan menginterasikan beberapa asas kurikulum seperti berikut :

1. Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)

KSSM adalah kurikulum yang dirangka oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan digunapakai di semua sekolah kerajaan dan sekolah-sekolah swasta di Malaysia. Kurikulum kebangsaan ini terdiri daripada subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Islam/moral, Sains dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, serta beberapa subjek elektif yang disusun mengikut kumpulan subjek yang dinamakan Pakej Matapelajaran pada peringkat menengah atas. Antara pakej tersebut ialah Pakej Pendidikan Islam (Bahasa Arab, Pendidikan al Quran dan Sunnah, dan Pendidikan Syariah Islamiyah) dan Pakej Sains Tulen atau Pakej STEM Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi).

Kurikulum KSSM dirangka bagi memenuhi falsafah pendidikan negara dan murid yang mengikuti KSSM akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas murid tamat Tingkatan 5 dan lain-lain pentaksiran yang ditetapkan oleh KPM melalui Lembaga Peperiksaan Malaysia. Oleh itu, kurikulum ini menjadi kurikulum arus perdana atau kurikulum utama sekolah-sekolah di Malaysia.

SMITI Sains Bahrul Ulum menjalankan kurikulum akademik KSSM ini bukan sahaja dengan matlamat mempersiapkan murid-murid untuk menduduki SPM. Malah SMITI Sains Bahrul Ulum juga menjadikan KSSM sebagai asas pengisian ilmu-ilmu bidang akademik (fardhu kifayah) dengan membuat beberapa perubahan atau olahan kandungan bagi memenuhi Sasaran Kemenjadian Murid.

Perubahan atau olahan kandungan ini termasuklah mengurang, menambah, menukar dan menyusun semula kandungan beberapa subjek atau topik tertentu pada peringkat menengah rendah. Sebagai contoh, SMITI Sains Bahrul Ulum menambah nilai (value added) beberapa subjek melalui teks Modul Sisipan KSSM yang menerapkan elemen tauhid, syariah, akhlak dan nilai-nilai Islam dalam topik-topik tertentu dan menjadi Elemen Merentasi Kurikulum yang dirangka bagi memenuhi Sasaran Kemenjadian Murid. 

2. Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) 

Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dirangka oleh Kementerian Pendidikan Malaysia khas untuk sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan atau SABK dan sekolah agama negeri bagi mengantikan dan menambahbaik kurikulum azhari selaras dengan pendekatan pendidikan semasa. Pengubalan ini juga bertujuan untuk menyelaras kurikulum azhari di SABK yang sebelum ini berbeza antara negeri atau sekolah. 

Melalui KBD, murid akan mempelajari subjek agama dengan menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar (dan buku teks) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa mereka (di samping subjek Bahasa Arab itu sendiri) dan seterusnya boleh menyambung ke peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang mendapat pengiktiraf daripada Universiti Al Azhar, Mesir. Bermula dengan murid kohort 2023, hanya murid yang mengambil pakej penuh KBD (Kurikulum KBD Semakan 2023) di Tingkatan 4, 5 dan 6 sahaja dibenarkan menduduki STAM. 

KBD juga memberi tumpuan kepada penguasaan Bahasa Arab kepada murid di mana peruntukan masa bagi subjek Bahasa Arab (Bahasa Arab Muasirah) adalah sangat tinggi berbanding subjek-subjek KSSM lain dan isi kandungannya juga adalah berlainan daripada subjek Bahasa Arab yang dilaksanakan oleh sekolah menengah biasa dan SMKA (KSSM dan KBT).

Manakala subjek-subjek akademik KBD adalah sama seperti subjek-subjek teras KSSM. Ini termasuklah subjek bahasa, subjek-subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dan subjek kesihatan jasmani. Walau bagaimanapun jam pertemuan bagi subjek-subjek akademik ini dikurangkan (berbanding jumlah jam pertemuan dalam pakej KSSM) kerana memberi tumpuan lebih kepada subjek Bahasa Arab dan subjek agama KBD (dari sudut jam pertemuan). Subjek Pendidikan Islam dalam KSSM juga digantikan dengan dua subjek agama dalam pakej KBD.

SMITI Sains Bahrul Ulum melaksanakan pakej KBD pada peringkat menengah rendah dengan beberapa perubahan dan pendekatan. Ini termasuklah peruntukan jam pertemuan setiap subjek. Perlaksanan kurikulum ini adalah dengan matlamat penguasaan ilmu asas Islam yang lebih mendalam di samping penguasaan kepada bahasa Arab.

3. Kurikulum Khas SMITI 

Kurikulum Khas SMITI termasuklah kurikulum yang dirangka peringkat SMITI Malaysia dan peringkat SMITI Negeri Pulau Pinang. Kurikulum ini terbahagi kepada kurikulum dalam bilik darjah dan luar bilik darjah. Kurikulum dalam bilik darjah termasuklah :

Subjek Maharat Al Quran iaitu subjek al Quran yang memberi penekanan kepada kemahiran membaca al Quran, pemahaman ayat dan juga hafazan (tahfiz). 

Subjek Keterampilan Daie memberi penekanan kepada fiqh dakwah, fiqh jihad, asas usul fiqh, fiqh siyasah syar'ieyah dan kemahiran berdakwah. 

Subjek Kemahiran Asas Teknikal dan Vokasional adalah kurikulum TVET dan mengantikan subjek Rekabentuk dan Teknologi yang ada dalam pakej KSSM. Subjek ini memberi penekanan kepada kemahiran asas bidang-bidang teknikal yang berada di persekitaran atau yang menjadi kegunaan harian murid-murid. Subjek ini dibahagi kepada 5 tema iaitu Keselamatan, Sains Pertanian, Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Sains Komputer dan Multimedia dan Sains Rumah Tangga. Matlamat subjek ini adalah memberi pendedahan awal berkaitan teknologi dan asas dalam penyelenggaraan mudah supaya jika berlaku kerosakan ringan, mereka boleh membaikpulih sendiri tanpa perlu mengupah pihak lain. Subjek ini insyallah, amat membantu mereka yang ingin menceburi bidang kerjaya tenaga mahir atau kemahiran.

Modul Pendidikan Kesihatan Islam adalah modul khas bagi mengantikan sukatan Komponen Pendidikan Kesihatan dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan KSSM. Asas modul ini adalah mengubahsuai dan menambah nilai tajuk dan isi kandungan dengan kaedah dan garis panduan Islam, hukum-hukum syariah yang berkenaan dan nilai-nilai Islam dalam topik pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial (PEERS), pengurusan kesihatan diri dan pemakanan. 

Di samping itu, kurikulum khas ini juga termasuklah modul ringkas dalam bentuk Sisipan Khas KSSM sebagai nilai tambah kepada kurikulum/subjek KSSM dengan elemen tauhid, syariah, nilai-nilai Islam dan meningkatkan minat murid kepada bidang sains dan teknologi, yang menjerus kepada matlamat kemenjadian murid yang disasarkan oleh SMITI Sains Bahrul Ulum.

 ALIRAN DAN HALATUJU SELEPAS SMITI

Semua murid SMITI Sains Bahrul Ulum akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada akhir Tingkatan 5, Insyaallah. Persediaan dan persiapan murid untuk SPM diberi perhatian dan dilaksanakan oleh pihak sekolah sejak dari mereka di peringkat menengah rendah.

Pada peringkat Menengah Atas (Tingkatan 4 dan 5), insyaallah aliran yang akan diwujudkan adalah Aliran STEM Hayat (Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan ) dan Aliran STEM Fizik (Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan). Walaupun hanya menawarkan aliran sains, murid-murid SMITI Sains Bahrul Ulum yang berminat untuk menceburi bidang agama mahupun bidang sastera di peringkat universiti masih boleh dan layak memohon kemasukkan ke program asasi mana-mana Intitusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan.

Ini kerana pemilihan dan penetapan pakej matapelajaran peringkat menengah atas SMITI Sains Bahrul Ulum adalah mengambil kira merit pengiraan mata bagi kemasukan IPTA melalui UPU.

 

 Penetapan/Pemilihan subjek pada peringkat menengah atas juga akan membuka peluang kepada semua murid untuk memiliki kelayakan (syarat kemasukan) meneruskan pendidikan lanjutan di Program Matrikulasi KPM (semua jurusan), Program Asasi IPTA, program Diploma dan STAM/STPM. Secara asasnya, laluan selepas SPM murid-murid SMITI Sains Bahrul Ulum adalah seperti gambar rajah di bawah :

FORMAT PERSEKOLAHAN

Format persekolahan adalah Sekolah Menengah Harian. Waktu persekolahan adalah bermula jam 7.40 pagi hingga 5.00 petang. Murid akan memulakan sesi persekolahan dengan membaca al Mathurat setiap awal pagi dan diikuti dengan halaqah al Quran dan solat sunat Dhuha. Kemudian murid akan bersarapan sebelum memulakan sesi PdPC. Kemudahan asrama disediakan bermula pada 2023 kepada murid yang berminat namun sangat terhad. Insyallah kerja-kerja pembangunan dan pembinaan asrama murid akan dijalankan selepas pembangunan blok akademik siap sepenuhnya.

 

PENILAIAN DAN PENTAKSIRAN MURID

 SMITI Sains Bahrul Ulum menjalankan 3 jenis pentaksiran yang dipecahkan kepada dua sesi iaitu hujung Penggal Kedua Persekolahan (Penggal 1 dan Penggal 2 Takwim Akademik KPM) dan pada akhir penggal atau akhir sesi akademik (hujung Penggal 3). Setiap sesi pentaksiran ini, Insyallah sesi Kolaborasi Waris akan diadakan di mana waris akan mendapatkan maklum balas perkembangan anak mereka dan berbincang apa tindakan bersama pihak sekolah dan waris dalam membantu perkembangan murid. Selain itu, waris juga boleh akses pelaporan perkembangan anak-anak mereka bila-bila masa melalui sistem online. 

Tiga jenis pentaksiran yang dijalankan di SMITI Sains Bahrul Ulum adalah :

 

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dibahagi kepada 2 tempoh pentaksiran iaitu Penggal 1 dan Penggal 2 bagi pelaporan PBD Formatif. Manakala pelaporan PBD Sumatif pula ada empat iaitu Ujian Kemajuan Penggal 1 dan Peperiksaan Pertengahan Tahun yang dijalankan pada Penggal 1, Ujian Kemajuan Penggal 2 dan Ujian Akhir Sesi Akademik yang dijalankan pada Penggal 2 dan Penggal 3. Format soalan PBD Sumatif adalah berdsarkan struktur format UASA dan sebahagian format SPM (berperingkat) bagi peringkat menengah rendah dan format SPM sepenuhnya bagi peringkat menengah atas.

Pentaksiran PAJSK dijalankan sedari murid berada di Tingkatan 1. Dasar kami di SMITI Sains Bahrul Ulum, setiap murid akan diusahakan untuk berpeluang menyertai aktiviti yang memberi merit paling optima kepada PAJSK mereka bermula dari mereka di Tingkatan 1. Setiap murid. Ini kerana pengumpulan mata pada 3 tahun pertama mereka di sekolah menengah adalah sangat signifikan berbanding hanya mengumpul ketika di menengah atas. 

Pentaksiran Psikometrik dijalankan mengikut jadual saranan/ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain itu, beberapa ujian tambahan juga dijalankan kepada murid mengikut tingkatan seperti ujian kecenderungan belajar dan ujian stress bagi membantu pihak sekolah dan guru-guru untuk memahami, memantau, membantu dan membimbing murid dengan lebih berkesan.