:
Pengenalan SRIBU


Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU) adalah sebuah Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) yang berdaftar bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP) dengan nombor pendaftaran JAIPP/PEND/05.R.002. SRIBU ditubuhkan pada 2004 dan memulakan sesi persekolahan pertama pada Januari 2005 di Taman Arowana, Pekan Permatang Pauh. Pada Januari 2015, SRIBU telah berpindah ke tapak dan bangunan kekal miliknya di Kampung Mengkuang Titi.

SRIBU adalah sekolah agama aliran akademik dengan kurikulum akademik adalah menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Kementerian Pendidikan Malaysia manakala kurikulum dini (agama) adalah menggunakan kurikulum yang digubal sendiri oleh Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Proses dan aktiviti pendidikan di SRIBU adalah menggunakan kaedah dan pendekatan terkini dengan mengaplikasikan Pendidikan Abad ke 21 (PAK21) dalam proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) khususnya dalam bilik darjah.

Semua murid Tahun 5 akan menduduki Ujian Penilaian KAFA (UPKK) dan murid yang telah tamat persekolahan (Tahun 6) boleh menyambung pelajaran ke mana-mana sekolah KPM (SMKA, SABK etc), sekolah agama negeri (Mahaad Al Mashoor, Maktab Mahmud etc), sekolah agensi kerajaan (MRSM, YIK etc) ataupun sekolah-sekolah agama swasta, yang tertakluk kepada ujian kemasukan sekolah masing-masing.

Murid-murid lepasan SRIBU juga akan diberi peluang khas untuk memasuki Sekolah Menengah Integriti Teras Islam Sains Bahrul Ulum (SMITI Sains Bahrul Ulum) yang berada bawah pentadbiran yang sama dengan SRIBU.