:
Pendidikan SRIBU


 

Asasnya, Kurikulum SRIBU adalah berteraskan kepada Falsafah Pendidikan Bahrul Ulum yang juga selari dengan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam. Hasrat dan matlamat SRIBU adalah melahirkan generasi beriman dan bertaqwa, memiliki sahsiah Islamiyah, dan mengembangkan bakat diri sebagai perintis ulamak, teknokrat dan umarak masa hadapan. Justeru, proses pendidikan dan pentarbiyah anak-anak SRIBU diacuankan selaras dengan Falsafah Pendidikan Bahrul Ulum iaitu :

"Pendidikan adalah usaha berterusan dan menyeluruh dalam membentuk kepercayaan, pengetahuan dan jati diri Muslim serta memperkembangkan potensi diri berteraskan al Quran, as Sunnah, ijmak ulamak dan qias. Usaha ini adalah untuk melahirkan generasi beriman dan bertaqwa, berilmu dan berkemahiran yang seimbang duniawi dan ukhrawi bagi memenuhi keperluan dan cabaran semasa dan akan datang, serta bertanggungjawab untuk membangun diri, agama, masyarakat, alam sekitar, negara dan seterusnya memperjuangkan wujudnya dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju redha Allah, mempertahan kesucian Islam, serta kemerdekaan dan kedaulatan negara " (Falsafah Pendidikan Bahrul Ulum)

 

KURIKULUM AKADEMIK (KSSR)

SRIBU menjalankan kurikulum akademik yang berasaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), iaitu kurikulum yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidkan Malaysia (KPM). Murid-murid akan dibekalkan dengan buku teks KPM (Skim Bantuan Buku Teks - SPBT). Subjek-subjek teras KSSR seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dijalankan sepenuhnya mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang dikeluarkan oleh KPM. Ini bermaksud SRIBU melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran subjek-subjek ini mengikut piawaian (standard) yang ditetapkan oleh KPM sama seperti di sekolah-sekolah kementerian.

Walau bagaimanapun, ketetapan Jam Kredit bagi subjek-subjek KSSR adalah berbeza daripada KPM memandangkan waktu persekolahan SRIBU lebih panjang dan peruntukan masa yang lebih banyak (berbanding Pendidikan Islam KPM) kepada subjek-subjek agama. 

KURIKULUM DINNI (AGAMA)

Kurikulum agama peringkat awal SRIBU dahulu adalah menggunakan kurikulum dari SRIDU, Kedah. Kurikulum agama SRIBU ditambahbaik dari masa ke semasa bersesuaian dengan perubahan semasa. Terkini, kurikulum agama ini digubal oleh Jawatankasa Kurikulum bagi memastikan kemenjadian murid dari sudut agama itu tercapai. Fokus kurikulum dini adalah melengkapkan murid dengan kefahaman asas fardhu ain dan mempraktikannya dalam kehidupan seharian mereka. Kemahiran Jawi diasak dari Tahun Satu bagi memastikan murid SRIBU celik jawi. 

Dari sudut kemahiran al Quran, SRIBU memberi fokus kepada kemahiran membaca al Quran dengan lancar serta meraikan hukum-hukum tajwid. Murid disasarkan dapat mengkhatam (menghabiskan) bacaan keseluruhan 30 juzuk sekurang-kurangnya sekali sepanjang mereka berada di SRIBU (sasaran : Darjah 5). Dari sudut hafazan, SRIBU mensasarkan murid dapat menghafaz keseluruhan surah dalam Juzuk Amma (Juzuk 30) dan beberapa surah pilihan, mengikut kemampuan murid. 

Peruntukan masa untuk keseluruhan subjek dini adalah hampir sama dengan jumlah masa bagi subjek akademik. Walau bagaimanapun untuk Tahun 5, peruntukan masa untuk subjek dini adalah lebih sedikit sebagai persediaan untuk murid menduduki peperiksaan UPKK.

PENILAIAN DAN PENTAKSIRAN MURID

 SRIBU menjalankan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sepenuhnya dari murid Tahun 1 hingga Tahun 6. Bagi murid Tahun 3 hingga Tahun 6, mereka juga akan menduduki PBD Sumatif atau Peperiksaan Pertengahan Tahun. Bermula pada Sesi Persekolahan 2022, SRIBU menjalankan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) kepada murid-murid Tahun 4 hingga Tahun 6 bagi subjek-subjek teras KSSR menggunakan soalan yang dijana oleh/dari sistem yang dikelola oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, manakala subjek-subjek lain digubal sendiri peringkat sekolah.

Selain itu, SRIBU juga menjalankan Ujian Penilaian Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) seperti yang ditetapkan oleh KPM. Markah PAJSK akan dijana melalui sistem KPM dan murid/waris akan menggunakan markah ini untuk permohonan kemasukan ke SBP/SMKA/MRSM dan sebagainya kelak.

Pencapaian murid dari sudut agama juga dinilai memelalui peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan merupakan peperiksaan awam bagi murid tahun 5 seluruh negara.

 

 

WAKTU PERSEKOLAHAN

Waktu persekolahan adalah dari jam 7.40 pagi hingga 4.00 petang setiap hari Isnin hingga Khamis, manakala hari Jumaat adalah dari jam 7.40 pagi hingga 11.30 tengahari. Murid akan belajar kurikulum akademik dan kurikulum dini mengikut jadual yang ditetapkan sepanjang waktu persekolahan.

Murid akan berehat sebanyak dua sesi iaitu sesi pada sekitar jam 9.00 pagi (mengikut jadual) untuk bersarapan dan seterusnya menunaikan Solat Sunat Dhuha secara berjamaah. Sesi rehat kedua adalah pada waktu tengahari di mana murid akan Solat Zohor Berjamaah selepas selesai makan tengahari.