:
Wakaf Pembelian Tanah Sebahagian LOT128


Assalamualaikum wbt.

Pihak kami membuka peluang kepada seluruh masyarakat Muslim untuk berwakaf bagi membeli tanah sebahagian baki Lot 128 untuk kegunaan bersama Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum dan SMITI Sains Bahrul Ulum. Pihak sekolah bercadang untuk membangunkan kemudahan atau fasiliti sukan untuk murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah kami bagi menjalankan aktiviti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Kelab Permainan Kokurikulum dan lain-lain aktiviti mencungkil dan mengembangkan bakat murid serta riadhah murid. 

Jumlah keluasan bagi Fasa A ini adalah 1.5 ekar. Fasiliti sukan yang dirancang untuk dibina adalah kemudahan padang (saiz standard padang bola sepak) bagi pelbagai acara sukan dan lain-lain aktiviti padang. Buat masa sekarang pihak sekolah terpaksa menyewa kemudahan ini di luar kawasan sekolah bagi membolehkan acara olahraga, bola sepak, bola baling dan lain-lain aktiviti sukan (seperti hari sukan tahunan, hari kokurikulum dan lain-lain) dijalankan. 

Selain padang, kemudahan sukan lain yang dirancang akan dibina di tapak ini termasuklah gelangan bola jaring, bola tampar dan sepak takraw. Kemudahan-kemudahan sukan ini juga diharap dapat membantu pihak sekolah melatih dan mempersiapkan murid-murid untuk menyertai kejohanan sukan dan olahraga peringkat daerah dan negeri menggunakan padang yang standard (saiz). 

Baki Lot 128 ini sangat bermakna kepada pihak sekolah kerana perancangan asal Lembaga Tadbir Sekolah adalah membeli keseluruhan Lot 128 pada tahun 2009 lalu. Namun, atas kekurangan dan kekangan dana walaupun selepas habis tarikh akhir perjanjian jual beli tersebut. Alhamdulilah, selepas berunding semula dengan tuan tanah asal berdasarkan kemampuan sekolah pada waktu itu, pihak sekolah hanya membeli sebahagian sahaja Lot tanah ini. 

Semoga wakaf tuan/puan dikira sebagai sedekah jariah yang berterusan pahalanya sebagaimana sabda Nabi SAW bahawa sedekah jariah antara amalan yang akan berterusan pahalanya hingga hari kiamat walaupun pewakaf telah meninggal dunia, selama mana ianya bermanfaat kepada tujuan wakaf itu. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya." 

Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)