PENGENALAN
Kurikulum SMITI Sains Bahrul Ulum dirangka berdasarkan 8 Domain Sasaran Kemenjadian Murid yang telah ditetapkan seperti di pautan Kemenjadian Murid SMITISBU (untuk maklumat lanjut). Ini bermaksud, semua pengisian pendidikan dan tarbiyah murid-murid sepanjang 5 tahun mereka belajar di sini adalah dengan matlamat untuk melahirkan murid-murid yang memenuhi kesemua Sasaran Kemenjadian Murid tersebut. Pengisian ini termasuklah pengisian dalam bilik darjah dan luar bilik darjah.
Sasaran Kemenjadian Murid tersebut dirangka selaras dengan matlamat utama penubuhan sekolah iaitu mendidik dan mentarbiyah tunas-tunas Islam bagi melahirkan generasi Islam yang akan menceburi bidang sains dan teknologi, yang memiliki pemahaman Islam yang kukuh dan beramal dengan ilmu mereka dengan penuh ikhlas dan ihsan, serta menjadi generasi yang melaksanakan kewajipan kepada agama, bangsa dan negara selaras dengan falsafah pendidikan negara dan falsafah pendidikan Bahrul Ulum itu sendiri, iaitu :
"Pendidikan adalah usaha berterusan dan menyeluruh dalam membentuk kepercayaan, pengetahuan dan jati diri Muslim serta memperkembangkan potensi diri berteraskan al Quran, as Sunnah, ijmak ulamak dan qias. Usaha ini adalah untuk melahirkan generasi beriman dan bertaqwa, berilmu dan berkemahiran yang seimbang duniawi dan ukhrawi bagi memenuhi keperluan dan cabaran semasa dan akan datang, serta bertanggungjawab untuk membangun diri, agama, masyarakat, alam sekitar, negara dan seterusnya memperjuangkan wujudnya dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju redha Allah, mempertahan kesucian Islam, serta kemerdekaan dan kedaulatan negara " (Falsafah Pendidikan Bahrul Ulum)
KURIKULUM SMITI SAINS BAHRUL ULUM.
SMITI Sains Bahrul Ulum menawarkan kurikulum integrasi (gabungan bersepadu) yang terdiri daripada kurikulum kebangsaan, kurikulum khas SMITI Malaysia dan kurikulum khas SMITI Pulau Pinang. Kurikulum integrasi ini berteraskan kepada pendidikan Agama (Dini) dan STEM. Kurikulum ini yang merangkumi subjek (pengisian dalam bilik darjah), modul dan program (dalam dan luar bilik darjah) ini digubal berdasarkan 8 Domain Sasaran Kemenjadian Murid (Program Outcomes) yang telah ditetapkan.
Secara asasnya, Kurikulum SMITI Sains Bahrul Ulum ini dapat dibahagikan kepada beberapa bidang ilmu seperti berikut :
1. Bidang Dini (Agama)
Kurikulum Bidang Dini atau bidang agama memberi penekanan kepada pendidikan dan pentarbiyahan murid yang mensasarkan hasil atau outcome di mana murid mempraktikkan pengetahuan dan pemahaman mereka kepada ilmu-ilmu asas fardhu ain dan ilmu-ilmu asas fiqh Islam dalam segenap kehidupan mereka dengan penuh ihsan. Ilmu asas fardhu ain termasuklah ilmu berkaitan aqidah, fiqh ibadah, akhlak dan kemahiran membaca al quran.
Manakala ilmu-ilmu fiqh Islam yang lain termasuklah fiqh munakahat (perkahwinan), fiqh muamalat, fiqh jinayat, fiqh dakwah, fiqh jihad dan asas usulul fiqh. Selain itu, murid juga akan belajar tentang hadis, ulumul hadis, ulumul quran, sirah nabawaiyah dan sejarah Islam, dan lain-lain ilmu atau pengetahuan Islam yang selaras dengan keperluan semasa dan kontemporari.
2. Bidang Bahasa
SMITI Sains Bahrul Ulum memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran 3 bahasa sebagai medium berkomunikasi kepada murid iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Murid akan diberi penekanan kepada penguasaan kemahiran bahasa seperti kemahiran membaca, bertutur, mendengar dan menulis bermula dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dalam memastikan murid menguasai tahap B2 mengikut piawaian Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).
3. Bidang STEM
Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah bidang kebitaraan atau bidang fokus bagi SMITI Sains Bahrul Ulum. Penekanan kami adalah kepada pembentukkan minat murid kepada bidang STEM dan penguasaan murid dalam subjek-subjek STEM terutama subjek Sains dan Matematik bermula dari mereka di Tingkatan 1.
4. Bidang Jatidiri, Sahsiah dan Kepimpinan
Pengisian berkaitan kenegaraan yang membetuk jatidiri sebagai warganegera yang kenal dan sayangkan negara seperti Sejarah, sebahagian tema dalam Geografi dan sebahagian tema dalam subjek Keterampilan Daei adalah subjek yang diajar dalam bilik darjah.
Selain subjek yang diajar dalam bilik darjah, proses pendidikan dan pentarbiyahan murid juga dijalankan di luar bilik darjah seperti dalam aktiviti kokurikulum, program khas dan sebagainya dalam bentuk modul dan pengsisian yang disusun khas bagi membentuk jatidiri, sahsiah dan kepimpinan murid.
Berikut adalah senarai subjek dan modul di SMITI Sains Bahrul Ulum mengikut bidang di atas :
ALIRAN MENENGAH ATAS
Murid-murid SMITI akan menduduki Peperiksaan SPM pada akhir Tingkatan 5. Justeru penawaran subjek atau mataperlajaran pada peringkat Menengah Atas di SMITI Sains Bahrul Ulum adalah mengambil kira peluang-peluang laluan pendidikan mereka selepas SPM kelak. Terdapat 3 Aliran Menengah Atas yang ditawarkan. Murid perlu memilih mana-mana aliran mengikut cita-cita, minat dan kecendorongan mereka. Bagi aliran STEM A, pemilihan perlu juga mengambil kira kemampuan murid dari sudut pelajaran. Berikut adalah senarai subjek peringkat Menengah Atas :
Aliran pertama adalah Aliran STEM A atau juga dikenali sebagai Sains Tulen. Murid akan mengambil subjek Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. Aliran ini memboleh murid menyambung pengajian ke universiti dan pra universiti dalam mana-mana aliran Sains dan aliran Sastera yang diminati. Aliran Kedua adalah Aliran Teras Agama manakala aliran ketiga adalah Aliran Teras TVET. Kedua-dua aliran ini murid akan mengambil subjek Sains dalam peperiksaan SPM. Bagi Aliran Teras TVET, murid akan diberi pendedahan tentang beberapa kemahiran dan bidang TVET sebagai alternatif kepada mereka yang berminat untuk memilih aliran TVET selepas SPM nanti.
HALATUJU MURID SELEPAS SPM
Bergantung kepada pemilhan aliran, murid SMITI Sains Bahrul Ulum boleh memilih mana-mana laluan pendidikan dan kerjaya mereka bergantung kepada keputusan peperiksaan SPM mereka. Insyaallah, pihak sekolah akan membantu mereka memilik laluan pendidikan selepas SPM kelak mengikut minat, cita-cita dan keputusan SPM.