:
Pengenalan SMITISBU


PENGENALAN

SMITI Sains Bahrul Ulum ditubuhkan pada tahun 2021, dan alhamdulillah telah memulakan sesi persekolahan pertama pada tahun 2022. SMITI Sains Bahrul Ulum ditubuhkan bagi memenuhi hasrat dan permintaan masyarakat Muslim Pulau Pinang khususnya dari kalangan waris-waris SRIBU yang mahukan sebuah sekolah agama peringkat menengah kesinambungan kepada SRIBU. 

Jauh dari itu, matlamat utama penubuhan sekolah ini adalah mendidik dan mentarbiyah tunas-tunas Islam bagi melahirkan generasi Islam yang akan menceburi bidang sains dan teknologi, yang memiliki pemahaman Islam yang kukuh dan beramal dengan ilmu mereka dengan penuh ikhlas dan ihsan, serta menjadi generasi yang melaksanakan kewajipan kepada agama, bangsa dan negara selaras dengan falsafah pendidikan negara dan falsafah pendidikan Bahrul Ulum itu sendiri.

SMITI Sains Bahrul Ulum adalah sekolah agama aliran akademik (Sekolah Menengah Agama Rakyat) yang menjadikan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai salah satu bidang fokus (niche area). Ini kerana bidang STEM di peringkat sekolah menengah menyaksikan berlaku kemerosotan pelajar setiap tahun dan kemosotan ini amat ketara apabila hanya 19 peratus murid tingkatan 4 tahun 2020 memilih bidang STEM berbanding hanya 44 peratus pada tahun 2018 dan 49 peratus pada 2012 (Jumlah Pelajar Mengambil STEM Semakin Merosot, Berita Harian, 12 Mac 2019 dan Hanya 19 Peratus Murid Pilih Aliran Sains, Berita Harian, 29 Mei 2020).

JIHAD BIDANG SAINS DAN TEKNOLGI

Kekurangan pelajar dari peringkat menengah ini akan memberi kesan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) di mana pada tahun 2019 sebanyak 11,000 tempat dalam pelbagai jurusan berkaitan STEM di IPT tidak dapat diisi. Sedangkan kerajaan memerlukan lebih ramai modal insan dalam bidang STEM untuk membangunkan negera selaras dengan cabaran dan kemajuan semasa serta era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Dan sudah tentu peningkatan pesat kajian dan pembangunan dalam bidang STEM seperti bidang kejuruteraan, perubatan, sains kesihatan, sains komputer, teknologi maklumat dan sebagainya akan menghasilkan penemuan baru yang memerlukan kepada instibat hukum atau semakan semula beberapa hukum/fatwa semasa yang berkenaan. Pembangunan pesat bidang STEM juga perlu dipandu berlandaskan syariah dan nilai-nilai Islam termasuk pada peringkat perangkaan dasar dan polisi.

Oleh itu, SMITI Sains Bahrul Ulum mengambil peranan dan tanggungjawab untuk mengisi kekosongan bidang ini dengan generasi muda yang berpegang teguh kepada Islam dan mampu memakmurkan bidang STEM dengan nilai-nilai Islam, kerana kami beranggapan usaha ini adalah merupakan satu jihad pendidikan yang penting.

 

OPERASI PERSEKOLAHAN

Sesi persekolahan tahun 2022 telah dijalankan bermula pada Mac 2022 dengan jumlah murid seramai 16 orang. Operasi persekolahan (PdPC) dikendalikan oleh 5 orang guru sepenuh masa dan dibantu oleh kakitangan pentadbiran Bahrul Ulum (SRIBU). Pada tahun 2023, jumlah murid telah meningkat kepada 52 orang dengan 8 orang guru/kakitangan akademik dan diunjurkan akan meningkat kepada 85 orang murid dan 10 orang guru pada sesi persekolahan 2024, InsyaAllah.

Bagi menjamin kualiti dan kemenjadian murid dapat dicapai sepenuhnya, SMITI Sains Bahrul Ulum mengekalkan nisbah bilangan guru kepada murid yang rendah dan tidak lebih daripada 1 guru : 10 murid.